Thursday, August 4, 2011

MODEL EKONOMI BARU

MODEL Ekonomi Baru (initiatif) yang bertujuan meningkatkan pendapatan per kapita negara menjelang 2020 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010. Dalam masa sepuluh tuhun yang akan datang ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Kelalaian kita selama lebih 10 tahun telah membuatkan kita ketinggalan dari segi daya saing dengan negara-negara yang suatu masa dulu setanding dengan kita.

Dengan pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diharap agensi kerajaan itu akan dianggotai oleh tenaga kerja yang profesional dan mahir baik dari dalam negara atau luar negara dan membuka pilihan untuk melantik pakar industri dalam bidang tertentu. Disarankan juga kita patut menjalankan satu kajian ke atas negara-negara yang telah berjaya menarik ramai pelabur asing tentang apakah asas-asas kejayaan mereka.

Kita tidak mengambil peluang dengan adanya hasil minyak untuk menyusun semula struktur ekonomi kita membuatkan pelabur asing dan pelabur tempatan tidak melabur sebanyak yang pernah mereka melabur 10 tahun dahulu.

Pada waktu yang sama kita melihat kemunduran dalam keupayaan kita untuk meningkatkan tenaga kerja mahir dan kemerosotan dalam kualiti pelajar kita yang keluar daripada institusi-institusi pengajian tinggi. Ramai yang begitu lemah dalam kemahiran berkomunikasi baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Malahan kita terbelenggu dengan masalah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak sebagai dasar yang hanya menguntungkan sesetengah golongan sahaja.Tuduhan kronisme, berat sebelah, tidak telus dan mereka yang hanya mementingkan 'komisyen' dan 'menjual' projek kepada orang lain terus menjadi tunggak utama kritikan. Kesan yang dilihat hari ini ialah kita terlekat dengan pendapatan pertengahan dan jurang antara sesama kaum masih luas.

Tidak dinafikan dalam latar belakang semua ini, rasuah masih memainkan peranan buruknya sehingga ada pihak-pihak yang berkuasa tidak lagi segan silu melakukannya. Umum melihat ramai daripada mereka yang dituduh lepas begitu sahaja kerana pihak pendakwa kurang bukti yang kukuh.

MEB ini secara mudahnya adalah cara lain untuk menguruskan ekonomi negara. Ia membabitkan penyuburan kembali sektor swasta supaya dapat memacu pertumbuhan, membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Kalau dianggarkan ada 2 juta pekerja asing dan setiap seorang menghantar balik RM100 sebulan, dalam sebulan sahaja RM200 juta mengalir keluar daripada negara kita atau pun RM2.4 bilion setahun. Itu kalau RM100 setahun, sebarang gandaan akan melipatkan gandakan lagi jumlah yang mengalir keluar.

Dengan sektor swasta lebih gemar mengambil pekerja asing yang bergaji rendah, kita tidak akan dapat meningkatkan gaji kepada tahap yang lebih tinggi. Berkaitan dengan ini juga ramai kalangan rakyat kita yang lebih gemar bekerja di luar negara kerana mereka memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi. Disebabkan kemahiran yang ada pada mereka dinilai lebih tinggi di luar negara, kita kehilangan mereka yang memiliki kemahiran yang sangat-sangat kita perlu untuk mengubah haluan ekonomi kita yang berteraskan pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Amalan di sektor swasta menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) yang mana orang lama yang berpengalaman dibayar imbuhan dan diganti dengan orang baru yang diberikan gaji lebih rendah. Sikap begini akan meletakkan negara kita sentiasa berada dalam lingkungan negara berpendapatan rendah.

Initiatif seterusnya mewujudkan ekonomi tempatan yang berdaya saing. Kita mempunyai kekuatan. Kita mempunyai sumber alam yang belum diterokai sepenuhnya. Sumber alam ini bukan sahaja boleh diterjemahkan ke dalam bentuk komoditi tetapi dalam bentuk perkhidmatan.

Kuasa angin misalnya boleh ditukar menjadi penjana tenaga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga minyak. Begitu juga tenaga suria yang boleh digembleng seperti yang dilakukan di negara-negara Timur Tengah. Dari sudut komoditi hutan-hutan kita yang berumur beratus juta tahun boleh dijadikan sumber untuk pelbagai jenis ubat kalau ditingkatkan penyelidikan dan pembangunan secara berkesan. Kelapa sawit kita belum diterokai pelbagai kegunaan sepenuhnya dan sentiasa menjadi bahan tentangan oleh mereka yang menyokong kacang soya.

Kita juga kerap mendengar rungutan tentang penyampaian perkhidmatan awam yang perlu dirombak dan diperkukuhkan. Ini menjadi initiatif MEB seterusnya. Dalam wawancara dengan media di Hong Kong, Perdana Menteri telah menyatakan perlunya mengadakan reformasi pentadbiran. Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah rancangan yang begitu baik seperti MEB ini tidak berjaya disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Ramai yang menjenguk ke belakang kepada pelaksanaan DEB yang penuh dengan ketirisan dan kebocoran.

Tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran juga menjadi salah satu initiatif MEB.Tindakan afirmatif yang telus memang benar-benar diperlukan. Melihat daripada pengalaman yang lepas-lepas banyak perkara seperti bagaimana sesuatu projek besar boleh diperolehi oleh sesuatu kumpulan tanpa sebarang tender menimbulkan keresahan di kalangan pihak lain. Ramai yang merasakan mereka didiskriminasikan. Walaupun ada perlunya bantuan diberikan, rakyat ingin tahu apakah mereka yang menerima wajar diberikan bantuan. Ia seharusnya bergantung kepada keupayaan dan bukan hanya kekuatan hubungan dengan orang tertentu.

Kerajaan juga wajar prihatin dengan keadaan di mana golongan yang terbesar di negara ini merupakan golongan yang terlemah sekali kedudukan ekonominya. Dalam proses menaikkan kedudukan ekonomi mereka ini, rakyat ingin tahu siapa sebenarnya yang patut diberikan bantuan untuk memperbaiki kedudukan mereka.

Suatu golongan yang tidak boleh dilupakan ialah mereka yang miskin di bandar. Walaupun mereka ini mungkin bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi dan ini membuatkan ramai yang terpaksa membuat pekerjaan yang lebih daripada satu, misalnya bekerja siang dan berniaga di pasar malam.

Initiatif seterusnya membabitkan membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan. Initiatif ini bakal melonjakkan industri kita ke arah industri yang lebih tinggi nilai tambahnya. Faktor-faktor pengeluaran yang tradisional seperti tanah, buruh dan modal telah di atasi oleh pengetahuan dan kita lihat mereka yang berjaya seperti Bill Gates dan Steve Jobs masing-masing daripada Micorsoft dan Apple membina empayar mereka daripada pengetahuan, tanpa tanah dan modal.

Di sini sekali lagi saya nyatakan bahawa tanpa konsep berasaskan pengetahuan ini difahami betul-betul oleh institusi sokongan seperti institusi kewangan dan pentadbiran awam, nescaya usaha kita untuk membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan akan terbantut. Hari ini kita sudah ada usahawan yang asas mereka ialah pengetahuan misalnya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti pertanian berteknologi tinggi yang memerlukan laboratari dan bukan tanah berhektar-hektar untuk menghasilkan keluaran yang jauh lebih tinggi pulangannya.

Malangnya mereka ini mempunyai masalah meyakinkan golongan yang bertanggungjawab dalam pembiayaan. Bagi institusi kewangan yang gemar menyerahkan penilaian kepada perunding luar pula mereka juga enggan mendengar pembentangan daripada bidang yang baru dan unggul ini. Dengan sendirinya ini boleh mematahkan semangat mereka dalam bidang ini.

Dalam ucapan Perdana Menteri tempoh hari beliau menyatakan bahawa kerajaan mempelawa maklum balas daripada rakyat tentang MEB ini sebelum digubal dengan butir-butir terperinci nanti.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Monday, April 25, 2011

Dasar Ekonomi Baru

Latarbelakang

Dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan 'pecah' dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan.

Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar.

Selepas mencapai kemerdekaan, Rancangan Malaya 5 tahun telah diperkenalkan. Rancangan Malaya Pertama, kedua dan Rancangan Malaysia Pertama dirancang untuk menitikberatkan kepada segi pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi. Rancangan ini telah menunjukkan kelemahan dari segi strategi di mana corak atau sistem semasa penjajahan masih berterusan.

Rasional

Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin.Dari jumlah semua keluarga miskin 86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah saperti berikut:

Kaum Kadar Kemiskinan ( % ) Pendapatan Purata Keluarga Sebulan ( RM )
Malayu 64.8 172.00
Cina 26.0 392.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00

Pemilikan Jumlah Pemilikan %
( RM Juta )
1. Bumiputera Perseorangan dan Agensi Amanah 279.6 4.3
a) Bumiputera Perseorangan 168.7 2.6
b) Agensi Amanah 110.9 1.7
2. Bukan Bumiputera 2233.2 34.0
3. Warganegara Asing 4051.3 61.7

Jumlah : 6564.1 100.0

Dilihat dari sudut pembahagian pekerjaan pada tahun 1970 pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut:

Sektor-sektor Melayu Cina India Lain-lain
1. Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
2. Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
3. Perniagaan/Perdagangan, Pentadbiran Awam, Pelajaran, Pertahanan dan kemudahan awam 42.6 45.5 10.7 1.2

Objektif

Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi itu , kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Matlamat utama dasar ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan sebagainya.

Strategi Pelaksanaan

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:

i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Membasmi kemiskinan
Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:

i. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.

ii. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.

iii. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.

iv. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.

v. Memodenkan kehidupan di luarbandar.

vi. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.

vii. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.

viii. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.

Penyusunan Semula Masyarakat
Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.

Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :

i. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.

ii. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.

iii. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.

iv. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.

v. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.

Penutup

Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta