Thursday, August 4, 2011

MODEL EKONOMI BARU

MODEL Ekonomi Baru (initiatif) yang bertujuan meningkatkan pendapatan per kapita negara menjelang 2020 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010. Dalam masa sepuluh tuhun yang akan datang ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Kelalaian kita selama lebih 10 tahun telah membuatkan kita ketinggalan dari segi daya saing dengan negara-negara yang suatu masa dulu setanding dengan kita.

Dengan pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diharap agensi kerajaan itu akan dianggotai oleh tenaga kerja yang profesional dan mahir baik dari dalam negara atau luar negara dan membuka pilihan untuk melantik pakar industri dalam bidang tertentu. Disarankan juga kita patut menjalankan satu kajian ke atas negara-negara yang telah berjaya menarik ramai pelabur asing tentang apakah asas-asas kejayaan mereka.

Kita tidak mengambil peluang dengan adanya hasil minyak untuk menyusun semula struktur ekonomi kita membuatkan pelabur asing dan pelabur tempatan tidak melabur sebanyak yang pernah mereka melabur 10 tahun dahulu.

Pada waktu yang sama kita melihat kemunduran dalam keupayaan kita untuk meningkatkan tenaga kerja mahir dan kemerosotan dalam kualiti pelajar kita yang keluar daripada institusi-institusi pengajian tinggi. Ramai yang begitu lemah dalam kemahiran berkomunikasi baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Malahan kita terbelenggu dengan masalah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak sebagai dasar yang hanya menguntungkan sesetengah golongan sahaja.Tuduhan kronisme, berat sebelah, tidak telus dan mereka yang hanya mementingkan 'komisyen' dan 'menjual' projek kepada orang lain terus menjadi tunggak utama kritikan. Kesan yang dilihat hari ini ialah kita terlekat dengan pendapatan pertengahan dan jurang antara sesama kaum masih luas.

Tidak dinafikan dalam latar belakang semua ini, rasuah masih memainkan peranan buruknya sehingga ada pihak-pihak yang berkuasa tidak lagi segan silu melakukannya. Umum melihat ramai daripada mereka yang dituduh lepas begitu sahaja kerana pihak pendakwa kurang bukti yang kukuh.

MEB ini secara mudahnya adalah cara lain untuk menguruskan ekonomi negara. Ia membabitkan penyuburan kembali sektor swasta supaya dapat memacu pertumbuhan, membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Kalau dianggarkan ada 2 juta pekerja asing dan setiap seorang menghantar balik RM100 sebulan, dalam sebulan sahaja RM200 juta mengalir keluar daripada negara kita atau pun RM2.4 bilion setahun. Itu kalau RM100 setahun, sebarang gandaan akan melipatkan gandakan lagi jumlah yang mengalir keluar.

Dengan sektor swasta lebih gemar mengambil pekerja asing yang bergaji rendah, kita tidak akan dapat meningkatkan gaji kepada tahap yang lebih tinggi. Berkaitan dengan ini juga ramai kalangan rakyat kita yang lebih gemar bekerja di luar negara kerana mereka memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi. Disebabkan kemahiran yang ada pada mereka dinilai lebih tinggi di luar negara, kita kehilangan mereka yang memiliki kemahiran yang sangat-sangat kita perlu untuk mengubah haluan ekonomi kita yang berteraskan pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Amalan di sektor swasta menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) yang mana orang lama yang berpengalaman dibayar imbuhan dan diganti dengan orang baru yang diberikan gaji lebih rendah. Sikap begini akan meletakkan negara kita sentiasa berada dalam lingkungan negara berpendapatan rendah.

Initiatif seterusnya mewujudkan ekonomi tempatan yang berdaya saing. Kita mempunyai kekuatan. Kita mempunyai sumber alam yang belum diterokai sepenuhnya. Sumber alam ini bukan sahaja boleh diterjemahkan ke dalam bentuk komoditi tetapi dalam bentuk perkhidmatan.

Kuasa angin misalnya boleh ditukar menjadi penjana tenaga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga minyak. Begitu juga tenaga suria yang boleh digembleng seperti yang dilakukan di negara-negara Timur Tengah. Dari sudut komoditi hutan-hutan kita yang berumur beratus juta tahun boleh dijadikan sumber untuk pelbagai jenis ubat kalau ditingkatkan penyelidikan dan pembangunan secara berkesan. Kelapa sawit kita belum diterokai pelbagai kegunaan sepenuhnya dan sentiasa menjadi bahan tentangan oleh mereka yang menyokong kacang soya.

Kita juga kerap mendengar rungutan tentang penyampaian perkhidmatan awam yang perlu dirombak dan diperkukuhkan. Ini menjadi initiatif MEB seterusnya. Dalam wawancara dengan media di Hong Kong, Perdana Menteri telah menyatakan perlunya mengadakan reformasi pentadbiran. Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah rancangan yang begitu baik seperti MEB ini tidak berjaya disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Ramai yang menjenguk ke belakang kepada pelaksanaan DEB yang penuh dengan ketirisan dan kebocoran.

Tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran juga menjadi salah satu initiatif MEB.Tindakan afirmatif yang telus memang benar-benar diperlukan. Melihat daripada pengalaman yang lepas-lepas banyak perkara seperti bagaimana sesuatu projek besar boleh diperolehi oleh sesuatu kumpulan tanpa sebarang tender menimbulkan keresahan di kalangan pihak lain. Ramai yang merasakan mereka didiskriminasikan. Walaupun ada perlunya bantuan diberikan, rakyat ingin tahu apakah mereka yang menerima wajar diberikan bantuan. Ia seharusnya bergantung kepada keupayaan dan bukan hanya kekuatan hubungan dengan orang tertentu.

Kerajaan juga wajar prihatin dengan keadaan di mana golongan yang terbesar di negara ini merupakan golongan yang terlemah sekali kedudukan ekonominya. Dalam proses menaikkan kedudukan ekonomi mereka ini, rakyat ingin tahu siapa sebenarnya yang patut diberikan bantuan untuk memperbaiki kedudukan mereka.

Suatu golongan yang tidak boleh dilupakan ialah mereka yang miskin di bandar. Walaupun mereka ini mungkin bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi dan ini membuatkan ramai yang terpaksa membuat pekerjaan yang lebih daripada satu, misalnya bekerja siang dan berniaga di pasar malam.

Initiatif seterusnya membabitkan membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan. Initiatif ini bakal melonjakkan industri kita ke arah industri yang lebih tinggi nilai tambahnya. Faktor-faktor pengeluaran yang tradisional seperti tanah, buruh dan modal telah di atasi oleh pengetahuan dan kita lihat mereka yang berjaya seperti Bill Gates dan Steve Jobs masing-masing daripada Micorsoft dan Apple membina empayar mereka daripada pengetahuan, tanpa tanah dan modal.

Di sini sekali lagi saya nyatakan bahawa tanpa konsep berasaskan pengetahuan ini difahami betul-betul oleh institusi sokongan seperti institusi kewangan dan pentadbiran awam, nescaya usaha kita untuk membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan akan terbantut. Hari ini kita sudah ada usahawan yang asas mereka ialah pengetahuan misalnya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti pertanian berteknologi tinggi yang memerlukan laboratari dan bukan tanah berhektar-hektar untuk menghasilkan keluaran yang jauh lebih tinggi pulangannya.

Malangnya mereka ini mempunyai masalah meyakinkan golongan yang bertanggungjawab dalam pembiayaan. Bagi institusi kewangan yang gemar menyerahkan penilaian kepada perunding luar pula mereka juga enggan mendengar pembentangan daripada bidang yang baru dan unggul ini. Dengan sendirinya ini boleh mematahkan semangat mereka dalam bidang ini.

Dalam ucapan Perdana Menteri tempoh hari beliau menyatakan bahawa kerajaan mempelawa maklum balas daripada rakyat tentang MEB ini sebelum digubal dengan butir-butir terperinci nanti.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)